Nurul Salwa Al-Fateh.Pertemuan pertama kali dengan wanita hebat
seperti Nurul Salwa Al-Fateh pasti tidak mampu dilupakan. Pelajar
perundangan syariah yang sangat hebat tentang hukum agama. Penegak
keadilan. Pembanteras kezaliman. Begitu tabik aku kepada Nurul Salwa
Al-Fateh. Namun apa yang pasti, wanita ini sebenarnya amat sukar untuk
didekati. Terlalu sukar. Wanita yang begitu sibuk beribadah dan
berhubung dengan kekasihNya menyebabkan dia sentiasa menyendiri daripada
kelompok manusia yang sibuk dengan kehidupan sosial masing-masing.
Jika dibandingkan aku dan Nurul Salwa Al-Fateh, terlalu jauh
perbezaan kami berdua. Hidup Nurul Salwa Al-Fateh begitu mengikut
syariat padahal aku pula banyak melanggarnya. Jauh di sudut hatiku, aku
mahu memiliki Nurul Salwa Al-Fateh itu. Aku seperti telah jatuh hati
pada wanita yang hujung namanya Al-Fateh itu. Tapi, bolehkah aku
memilikinya? Sedangkan kehidupan kami berdua saja sudah boleh membezakan
aku yang jahat dan dia yang baik. Hati ini sukar untuk dijangka. Bila
aku tidak memerlukan cinta, ia datang menyinggah. Bila diperlukan, ia
tidak mahu datang. Itulah lumrahnya perkataan yang bernama cinta.
Tetapi pada suatu hari, terjadi satu peristiwa yang telah mengubah
kehidupanku. Aku bertemu Nurul Salwa Al-Fateh. Pada ketika itu, dia
berada di perpustakaan kampus dan pada waktu yang sama, aku sedang
mencari bahan rujukan untuk menyiapkan kerja khusus yang diberikan oleh
pensyarah. Tiba-tiba, Nurul Salwa Al-Fateh memberi salam dan meminta aku
mengambil buku yang berada tidak jauh dari tempat aku berdiri. Aku
begitu terkejut dan terpegun dengan keindahan Nurul Salwa Al-Fateh.
Memang benar kata para pelajar di sini, dia pelajar yang luar biasa.
"Errr... Encik? Boleh ambilkan saya buku yang tidak jauh dari tempat encik berdiri?"
Aku pun mengambil buku tersebut setelah lamunan aku terhenti. Aku
memberanikan diri untuk bertanya padanya adakah betul dia Nurul Salwa
Al-Fateh. Dia tersenyum. Aku sungguh terpukau dengan senyuman manis
bersama lesung pipitnya itu. Nurul Salwa Al-Fateh menganggukkan kepala
dan berlalu seraya meninggalkan aku salam. Hatiku berdebar-debar. Aura
Nurul Salwa Al-Fateh masih bersama denganku. Sejak dari itu, aku mula
kerap ke perpustakaan agar sentiasa bertemu wanita hebat itu.
Ke mana saja dia pergi, aku pun mengikutinya. Segala aktiviti Nurul
Salwa Al-Fateh sentiasa aku ketahui. Sifat peribadinya tiada beza
seperti Saidatina Fatimah Az-Zahra. Mungkin aku boleh samakan dia dengan
Ummu Abiha itu. Nurul Salwa Al-Fateh sentiasa menghadiri majlis-majlis
ilmu di masjid dan mengikuti aktiviti kebajikan. Sedikit demi sedikit,
aku telah berubah. Dahulu gaya hidupku terlalu kebaratan. Di dalam
rumahku ini aku sedar tiada sedikit pun sinar Islam. Botol arak
tersimpan kemas di dalam almari. Maksiat bermaharajalela di rumah ini.
Aku sangat berasa jahil dan sememangnya aku jahil dalam bab agama. Aku
ingin berubah menjadi yang lebih baik. Aku tidak mahu tersesat di jalan
yang lagi menyesatkan ini. Namun pada siapa harus aku bertemu?
Sedang asyik aku duduk di tasik buatan kampus, hadirnya wanita idaman
semua lelaki. Nurul Salwa Al-Fateh bersama beberapa temannya menyapaku.
Mungkin dia terlihat aku di dalam masalah. Entah bagaimana dia boleh
tahu tentang masalah yang dihadapiku ini. Nurul Salwa Al-Fateh
menyerahkan sekeping kertas yang tercatat padanya nama dan nombor
telefon seseorang. Dia meminta aku untuk berjumpa dengan orang tersebut.
Kemudian dia pun pergi bersama-sama rakannya dengan meninggalkan aku
salam. Tanpa melengah-lengahkan masa, aku mengeluarkan telefon bimbit
lalu mendail nombor tersebut. Perbualan antara aku dan Ustaz Muhammad
tidaklah panjang. Aku hanya meminta untuk berjumpa.
Pada malam itu, aku berjumpa Ustaz Muhammad di sebuah masjid tidak
jauh daripada kediamanku. Aku menceritakan segala kisah hidupku dan
meminta Ustaz Muhammad membimbingku. Dengan hati yang besar, Ustaz
Muhammad menerimaku sebagai anak didiknya. Kini aku mampu tersenyum. Aku
mula belajar untuk mengambil wuduk kemudian solat. Setelah itu aku mula
membaca surah-surah lazim. Bermula dengan surah Al-Fatihah dan 3 surah
Qul. Dalam masa beberapa hari aku sudah menguasainya. Aku umpama bayi.
Bayi yang mula-mula hanya tahu merangkak. Cuba berdiri dan berjalan
tetapi pada suatu saat, aku tersungkur. Walaupun sering aku rasa
kesakitan, tapi aku tidak mengalah. Aku berdiri lagi dan berjalan
perlahan-lahan. Alhamdulilah, sekarang aku mampu melaksanakan perintah
Allah yang menjadi perkara yang pertama dihisab di alam barzakh, solat.
Usai saja solat Zohor di masjid kampus, aku terserempak dengan Nurul
Salwa Al-Fateh. Aku menyapanya dengan memberi salam. Nurul Salwa
Al-Fateh yang ketika itu bersama temannya memalingkan wajah ke belakang
dan menjawab salam yang aku berikan. Aku mengucapkan terima kasih
kepadanya kerana telah menemukan aku kepada Ustaz Muhammad. Nurul Salwa
Al-Fateh menganggukkan kepala dan berkata dia hanya membantu
mempertemukan saja aku dan Ustaz Muhammad. Tidak lebih daripada itu. Ya
Allah, wanita di hadapanku ini sungguh merendah diri. Sebelum meminta
diri, aku sekali lagi mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga
kepadanya. Aku pun pergi meninggalkan Nurul Salwa Al-Fateh dengan sebuah
senyuman yang telah aku khaskan buatnya.
Beberapa hari kemudian, aku mendapat khabar Nurul Salwa Al-Fateh
dilamar oleh seorang ustaz. Ustaz Salahuddin Al-Ayyubi. Bekas pelajar
Universiti Al Azhar. Tetapi ditolak oleh Nurul Salwa Al-Fateh. Ramai
lelaki yang telah cuba melamar Nurul Salwa Al-Fateh tetapi kesemuanya
pulang dengan hampa kerana lamaran masing-masing telah ditolak olehnya.
Lelaki-lelaki yang melamar Nurul Salwa Al-Fateh bukan calang-calang
orang. Kesemuanya kuat agama dan merupakan anak orang berada. Di hatiku
timbul satu soalan: Siapakah yang boleh mendapatkan Nurul Salwa Al-Fateh
itu?
Seperti biasa, aku akan berada di masjid bersama-sama Ustaz Muhammad
pada setiap malam Jumaat. Mengaji Al-Quran bersama dengannya.
Memperbetulkan tajwid jika aku tersalah. Malam itu, aku merasakan
bacaanku semuanya tidak betul sehingga Ustaz Muhammad menjadi hairan.
Apakah yang bermain di fikiranku sebenarnya? Mengapa setiap bacaanku
menjadi salah?
Ustaz Muhammad meminta aku berhenti membaca. Takut jika aku terus
membaca, banyak lagi kesalahan yang aku lakukan. Aku rasa gundah gulana.
Wajah Nurul Salwa Al-Fateh bermain di minda. Patut saja aku tidak boleh
membaca al-Quran dengan baik. Ustaz Muhammad bertanya kepadaku andai
aku mempunyai masalah. Aku telah menganggap Ustaz Muhammad seperti
ayahku sendiri dan begitu senang untuk aku bercerita kepadanya. Aku
menceritakan kepadanya mengenai Nurul Salwa Al-Fateh itu. Ketika aku
bercerita, aku tidak mahu menyebut nama Nurul Salwa Al-Fateh.
"Kenapa tidak cuba untuk melamar wanita itu?" soal Ustaz Muhammad. Aku yang bersandar pada dinding masjid tersenyum.
"Saya dan wanita itu umpama langit dan bumi. Bagaimana untuk saya
melamar wanita solehah itu padahal sebelum saya, ramai lelaki yang telah
pulang dengan hampa kerana lamaran sudah ditolak. Jika saya yang pergi
melamarnya, sudah pasti ditolak oleh wanita itu," jawabku. Tiba-tiba
Ustaz Muhammad ketawa.
"Bagaimana kamu tahu kamu ditolak oleh wanita itu padahal kamu belum
mencubanya? Belum cuba, kamu sendiri tidak akan tahu keputusannya
bagaimana. Mungkin wanita itu akan menerima kamu sebagai suaminya," kata
Ustaz Muhammad. Aku terdiam. Ada benarnya juga kata Ustaz Muhammad.
Kemudian Ustaz Muhammad menceritakan kisah Saidina Ali bin Abi Talib
dan Saidatina Fatimah Az-Zahra. Aku mendengar penuh khsuyuk cerita yang
diceritakan oleh Ustaz Muhammad. Cinta diam itu hanya dipendamkan kerana
takut melebihi cinta kepada Allah. Namun cinta mereka itu disatukan
juga. Aku begitu kagum kepada Saidina Ali bin Abi Talib yang begitu
sabar bagi menunggu cintanya.
"Namun saya bukan Saidina Ali, ustaz. Saya hanyalah hamba Allah yang
serba kekurangan. Saya mungkin tidak layak untuk wanita itu. Wanita itu
terlalu baik dan solehah. Dia mungkin layak untuk orang lain. Bukan
saya, ustaz," kataku kepada Ustaz Muhammad.
"Jika kamu bukan Saidina Ali, wanita itu juga bukan Saidatina
Fatimah. Terlalu awal untuk berputus asa. Cubalah dahulu. Aku yakin kamu
pasti akan memiliki wanita solehah itu." Kata-kata Ustaz Muhammad
memberi aku semangat. Aku perlu mencuba dahulu agar mengetahui
jawapannya. Aku melakukan solat hajat dan solat istikarah. Jika
lamaranku ditolak, aku redha. Aku tahu aku tidak layak buat Nurul Salwa
Al-Fateh.
Berbekalkan doa, aku memberanikan diri berjumpa orang tua Nurul Salwa
Al-Fateh. Semasa aku bertemu orang tua Nurul Salwa Al-Fateh, aku begitu
terkejut besar sehingga menyebabkan aku tidak dapat berkata-kata.
Lelaki yang menjadi ayah kepada Nurul Salwa Al-Fateh itu adalah Ustaz
Muhammad. Kedatanganku disambut dengan penuh gembira oleh Ustaz
Muhammad. Aku berasa seperti dalam mimpi!
"Apakah kedatanganmu ke rumahku ini anak muda?" soal Ustaz Muhammad.
Aku menjadi sedikit gementar. Ragu-ragu untuk meluahkan apa yang sudah
tersirat di hati. Aku menarik nafas.
"Maaf kalau saya mengganggu ustaz, tetapi kedatangan saya ke sini
membawa hajat yang besar. Saya tahu saya bakal ditolak tetapi saya mahu
mencubanya dahulu. Saya ingin melamar Nurul Salwa Al-Fateh menjadi
isteri saya. Menjadi peneman hidup saya," kata aku menyatakan
kedatanganku kepada Ustaz Muhammad.
"Persoalan yang bermain di minda dan di hatimmu itu bakal dijawab
sendiri oleh Nurul Salwa Al-Fateh. Andai dia menerima, aku juga akan
menerima. Andai ditolak, redhakan saja," kata Ustaz Muhammad. Aku hanya
menganggukkan kepala. Ustaz Muhammad pun memanggil Nurul Salwa Al-Fateh
ke ruang tamu dan bertanya kepadanya sama ada dia menerima lamaranku
atau menolaknya. Aku perlu bersedia.
"Abah, Salwa pernah mendengar ada lelaki yang mengatakan dia bukan
sehebat Saidina Ali kerana kehebatan cinta Saidina Ali kepada puteri
Rasulullah SAW. Sedangkan Salwa juga bukanlah Saidatina Fatimah
Az-Zahra. Salwa juga ada kekurangannya. Setiap hari Salwa menunggu
lelaki itu melamar, namun hampa. Sehinggalah hari ini, penantian Salwa
telah tamat, abah. Lelaki itu hadir juga dan lelaki yang Salwa maksudkan
adalah Muhammad Zoriffudin. Lelaki yang menjadi anak didik abah. Dengan
itu, Salwa menerima lamaran lelaki yang ada di hadapan abah," jawab
Nurul Salwa Al-Fateh. Aku rasa begitu gembira sehingga melakukan sujud
syukur. Ya Allah, terima kasih!
Siapa menyangka penghujungnya indah? Aku yang dahulunya berfikiran
akan ditolak oleh Nurul Salwa Al-Fateh, tetapi diterima lamaranku. Aku
bukanlah sehebat lelaki-lelaki lain yang bekerjaya tinggi dan luas ilmu
agama. Aku masih lagi dalam keadaan kekurangan. Kekurangan kerana tiada
yang mengembalikan tulang rusukku yang hilang. Aku yang perlu mencarinya
kembali dan akhirnya aku menjumpainya. Bertemu kembali tulang rusukku
yang hilang dan tulang rusukku itu adalah Nurul Salwa Al-Fateh binti
Muhammad.
-Artikel iluvislam.com-