dashboard,cursor

Elegant Rose - Double Heart

Jan 15, 2012

Lelaki idaman wanita solehah



Lelaki idaman saya adalah seorang lelaki yang beriman
Yang hatinya disaluti rasa taqwa kepada Allah
Yang jiwanya penuh penghayatan terhadap Islam
Yang sentiasa haus dengan ilmu
Yang sentiasa dahaga akan pahala
Yang solatnya adalah maruah dirinya
Yang tidak pernah gentar untuk berkata benar
Yang sentiasa bersama mujahid yang berjuang di jalan ALLAH

Lelaki idaman saya adalah lelaki yang menjaga tutur katanya
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya
Yang tidak terpedaya dengan harta dunia yang dicarinya
Yang sentiasa berbuat kebajikan kerana sifatnya yang penyayang
Yang mempunyai ramai teman dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang

Lelaki idaman saya adalah lelaki yang menghormati ibu ayahnya
Yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tua dan keluarga
Yang akan mendidik isteri dan anak-anak mendalami Islam
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menuju akhirat

Lelaki idaman saya sentiasa bersedia untuk menjadi imam
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara
Yang menjaga matanya dari berbelanja
Yang sujud penuh kesyukuran dengan rahmat Allah keatasnya

Lelaki idaman saya tidak pernah membazirkan masa
Matanya kepenatan kerana terlalu asyik membaca
Suaranya lemah kerana penat mengaji dan berzikir
Tidurnya lena dengan cahaya keimanan
Bangunnya subuh penuh kecergasan
Kerana sehari lagi usianya bertambah penuh kematangan

Lelaki idaman saya sentiasa mengingati mati
Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibaja dan dijaga
Agar berputik tunas yang bakal menjadi baka yang baik
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian

Lelaki idaman saya adalah lelaki
Yang tidak terpesona dengan buaian dunia
Kerana dia mengimpikan syurga
Di situlah rumah idamannya
Dan dia akan membawa saya bersama ke sana
Dialah lelaki idaman saya
Yang ALLAH kirimkan untuk menjaga dan membimbing saya

~~~semoga ALLAH kurniakan lelaki yang soleh sebagai suami untuk sekalian wanita solehah...berdoalah wahai wanita solehah yang comel ... pasti janji ALLAH itu benar ... "sesungguhnya wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan sebaliknya"  =)




Jan 12, 2012

Adik Kandungku Insaf


 

Perubahan Kehidupan Adik Kandungku

Kisah yang akan diceritakan selepas ini mungkin hanya cerita dongengan bagi sesetengah insan, namun bagi sesetengah insan lain yang ingin mencari Islam sebenar, kisah yang akan diceritakan selepas ini Insya’Allah akan memberi sedikit inspirasi kepada mereka untuk membentuk diri dan juga keluarga agar melaksanakan satu perintah besar daripada Al-Khaliq berkenaan penjagaan aurat khususnya untuk muslimah sekalian dengan sempurna.

Kisah ini diceritakan daripada seorang sahabat.

Saya ingin bercerita mengenai kisah adik saya, Aliya(bukan nama sebenar), seorang gadis yang baru menginjak dewasa tetapi agak kasar dan suka berkelakuan seperti lelaki. Ketika usianya mencecah 17 tahun perkembangan tingkah lakunya benar-benar membimbangkan ibu. Dia sering membawa teman-teman lelakinya pulang ke rumah. Situasi ini menyebabkan ibu tidak senang tambahan pula ibu merupakan guru al-Quran.

Bagi mengelakkan pergaulan yang terlalu bebas, ibu telah meminta adik memakai tudung. Permintaan ibu itu ditolaknya sehingga seringkali berlaku pertengkaran-pertengkaran kecil antara mereka. Pernah pada suatu masa, adik berkata dengan suara yang agak keras,”Cuba mama tengok, jiran-jiran kita pun ada yang anaknya pakai tudung, tapi perangainya sama je macam orang yang tak pakai tudung. Sampai kawan-kawan Aliya kat sekolah, yang pakai tudung pun selalu keluar dating dengan boyfriend diorang, pegang-pegang tangan. Liya ni, walaupun tak pakai tudung, tak pernah buat macam tu!”

Ibu hanya mampu mengeluh mendengar kata-kata adik. Kadang kala saya terlihat ibu menangis di akhir malam. Dalam Qiamullailnya.Terdengar lirik doanya ” Ya Allah, kenalkan Aliya dengan hukum-Mu”.

Pada satu hari, ada jiran yang baru pindah berhampiran rumah kami.Sebuah keluarga yang mempunyai enam orang anak yang masih kecil. Suaminya bernama Abu Khoiri, (nama sebenarnya siapa, tak dapat dipastikan). Saya mengenalinya sewaktu di masjid. Setelah beberapa lama mereka tinggal berhampiran rumah kami, timbul desas-desus mengenai isteri Abu Khoiri yang tidak pernah keluar rumah, hingga ada yang menggelarnya si buta, bisu dan tuli. Perkara ini telah sampai ke pengetahuan adik. Dia bertanya kepada saya, “Abang, betul ke orang yang baru pindah itu, isterinya buta,bisu dan tuli?”. Lalu saya menjawab sambil lewa, “Kalau nak tau sangat, pergi rumah mereka, tanya sendiri”.

Rupa-rupanya adik mengambil serius kata-kata saya dan benar-benar pergi ke rumah Abu Khoiri. Sekembalinya dari rumah mereka, saya melihat perubahan yang benar-benar mendadak berlaku pada wajah adik. Wajahnya yang tak pernah muram atau lesu menjadi pucat lesi. Entah apa yang dah berlaku? Namun, selang dua hari kemudian, dia minta ibu buatkan tudung. Tudung yang labuh. Adik pakai baju labuh. Lengan panjang pula tu. Saya sendiri jadi bingung. Bingung bercampur syukur kepada Allah SWT kerana saya melihat perubahan yang ajaib.

Ya, saya katakan ajaib kerana dia berubah seratus peratus! Tiada lagi anak-anak muda atau teman-teman wanitanya yang datang ke rumah hanya untuk bercakap perkara-perkara yang tidak tentu arah. Saya lihat, dia banyak merenung, banyak baca majalah Islam (biasanya dia suka beli majalah hiburan), dan saya lihat ibadahnya pun melebihi saya sendiri. Tak ketinggalan tahajudnya, bacaan Qurannya, solat sunatnya dan yang lebih menakjubkan lagi, bila kawan-kawan saya datang, dia menundukkan pandangan. Segala puji bagi Engkau wahai Allah, jerit hati saya.

Tidak lama kemudian, saya mendapat panggilan untuk bekerja di kalimantan, kerja di satu perusahaan minyak CALTEX. Dua bulan setelah saya bekerja di sana, saya mendapat khabar bahawa adik sakit tenat hingga ibu memanggil saya pulang ke kampung. Dalam perjalanan, saya tak henti-henti berdoa kepada Allah SWT agar adik di beri kesembuhan, hanya itu yang mampu saya usahakan. Ketika saya sampai di rumah, di depan pintu sudah ramai orang. Hati berdebar-debar, tak dapat ditahan. Saya berlari masuk ke dalam rumah. Saya lihat ibu menangis. Saya segera menghampiri ibu lantas memeluknya. Dalam esak tangisnya ibu memberitahu, “Dhi, adik boleh mengucapkan kalimat Syahadah di akhir hidupnya”. Air mata ini tak dapat ditahan lagi!!

Setelah selesai upacara pengkebumian dan lain-lainnya, saya masuk ke bilik adik. Saya lihat di atas mejanya terletak sebuah diari.Diari yang selalu adik tulis. Diari tempat adik menghabiskan waktunya sebelum tidur semasa hayatnya. Kemudian diari itu saya buka sehelai demi sehelai. Hingga sampai pada satu halaman yang menguak misteri dan pertanyaan yang selalu timbul di hati ini – Perubahan yang terjadi ketika adik baru pulang dari rumah Abu Khoiri. Di situ tertera soaljawab antara adik dan isteri jiran kami itu.

Butirannya seperti ini: Soaljawab (saya lihat di lembaran itu terdapat banyak bekas airmata)

Aliya: (Aku hairan,wajah wanita ini cerah dan bersinar seperti bidadari) Mak cik, wajah mak cik sangat muda dan cantik!

Isteri jiranku : Alhamdulillah. Sesungguhnya kecantikan itu datang dari lubuk hati.

Aliya : Tapi, mak cik kan dah ada anak enam. Tapi masih kelihatan cantik.

Isteri jiranku : Subhanallah! Sesungguhnya keindahan itu milik Allah SWT. Dan bila Allah SWT berkehendak. Siapakah yang boleh menolaknya?

Aliya : Mak Cik, selama ini ibu saya selalu menyuruh saya memakai tudung, tapi saya selalu menolak kerana saya rasa tak ada masalah kalau saya tak pakai tudung asalkan saya berkelakuan baik. Saya tengok, banyak wanita yang pakai tudung tapi kelakuannya melebihi kami yang tak pakai. Sampaikan saya tak pernah rasa nak pakai tudung. Pendapat mak cik bagaimana?

Isteri jiranku : Aliya, sesungguhnya Allah SWT menjadikan seluruh tubuh wanita ini perhiasan dari hujung rambut hingga hujung kaki, segala sesuatu dari tubuh kita yang terlihat oleh bukan mahram kita semuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT nanti. Tudung adalah salah satu perlindungan untuk wanita!

Aliya : Tapi yang saya tengok, banyak wanita bertudung yang kelakuannya tak elok.

Isteri jiranku : Tudung hanyalah kain , tapi hakikat atau makna disebalik tudung itu sendiri yang harus kita fahami.

Aliya : Apakah hakikat tudung?

Isteri jiranku :
Hakikat tudung adalah perlindungan zahir batin, lindungi mata kamu dari memandang lelaki yang bukan mahram kamu, lindungi lidah kamu dari mengumpat orang dan bercakap perkara yang sia-sia. Sentiasalah lazimi lidah dengan zikir kepada Allah SWT, lindungi telinga kamu dari mendengar perkara yang mengundang mudharat baik untuk dirimu mahupun masyarakat , lindungi hidungmu dari mencium segala yang berbau busuk, lindungi tangan-tangan kamu dari berbuat sesuatu yang tidak senonoh, lindungi kaki kamu dari melangkah menuju maksiat, lindungi fikiran kamu dari berfikir perkara yang mengundang syaitan untuk memperdayai nafsu kamu, lindungi hati kamu dari sesuatu selain Allah SWT, bila kamu sudah biasa, maka tudung yang kamu pakai akan menyinari hati kamu. Itulah hakikat tudung.

Aliya : Mak cik, sekarang saya sudah jelas tentang erti tudung. Mudah mudahan saya mampu pakai tudung. Tapi, macam mana saya nak buat semua tu?

Isteri jiranku : Duhai Aliya, bila kamu memakai tudung, itulah kurniaan dan rahmat yang datang dari Allah SWT yang Maha Pemberi Rahmat , bila kamu mensyukuri rahmat itu, kamu akan diberi kekuatan untuk melaksanakan amalan-amalan ‘tudung’ hingga mencapai kesempurnaan yang diinginkan Allah SWT. Duhai Aliya, ingatlah akan satu hari di mana seluruh manusia akan dibangkitkan ketika ditiup sangkakala yang kedua. Pada saat roh-roh manusia seperti anai-anai yang bertebaran dan dikumpulkan dalam satu padang yang tiada batas, yang tanahnya dari logam yang panas, tiada rumput mahupun tumbuhan, ketika tujuh matahari didekatkan di atas kepala kita namun keadaan gelap gelita, ketika seluruh manusia ketakutan, ketika ibu tidak mempedulikan anaknya, anak tidak mempedulikan ibunya, sanak-saudara tidak kenal satu sama lain lagi, antara satu sama lain boleh menjadi musuh lantaran satu kebaikan lebih berharga dari segala sesuatu yang ada di alam ini, ketika manusia berbaris dengan barisan yang panjang dan masing masing hanya mempedulikan nasib dirinya, dan pada saat itu ada yang berpeluh kerana rasa takut yang luar biasa hingga tenggelam dirinya akibat peluh yang banyak, dan bermacam macam rupa-rupa bentuk manusia yang tergantung amalannya , ada yang melihat ketika hidupnya namun buta ketika dibangkitkan, ada yang berbentuk seperti haiwan,ada yang berbentuk seperti syaitan, semuanya menangis. Menangis kerana hari itu Allah SWT murka! Belum pernah Allah SWT murka sebelum dan sesudah hari itu. Hingga ribuan tahun manusia dibiarkan Allah SWT dipadang mahsyar yang panas membara hinggalah sampai ke Timbangan Mizan. Hari itulah dipanggil hari Hisab. Duhai Aliya, bila kita tidak berusaha untuk beramal pada hari ini, entah dengan apa nanti kita akan menjawab bila kita di tanya oleh Yang Maha Perkasa, Yang Maha Besar , Yang Maha Kuat , Yang Maha Agung, Allah SWT.

Sampai di sini sahaja kisah itu saya baca kerana di sini tulisannya terhenti dan saya lihat banyak titisan airmata yang jatuh dari pelupuk matanya. Subhanallah! Saya selak halaman berikutnya dan saya lihat tertera tulisan kecil dibawah tulisan itu

buta,tuli dan bisu...wanita yang tidak pernah melihat lelaki selain mahramnya , wanita yang tidak pernah mahu mendengar perkara yang dapat mengundang murka Allah SWT , wanita tidak pernah berbicara ghibah dan segala sesuatu yang mengundang dosa dan sia sia”

Tak tahan, airmata ini pun jatuh. Semoga Allah SWT menerima adikku disisinya. Amin.

Subhanallah! Saya harap cerita ini boleh menjadi iktibar kepada kita semua.Wassalam.

Solat Sunat Dhuha


Apa itu solat sunat dhuha ?


Bilangan rakaat : 2 hingga 12 rakaat (2 rakaat 1 salam)
Waktu : Pagi anggaran 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari
Berkenaan waktu afdalnya pula iaitu ketika sinar matahari kian panas berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah s.a.w. menjelaskan:

“Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.” 
Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang
(Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi).

Niatnya:
“Sahaja aku sembahyang sunat Dhuha 2 rakaat kerana Allah Ta’ala”

Bacaan doa selesai solat:


Maksudnya:

Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu  DhuhaMu, kecantikannya adalah kecantikanMu,
keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu,
kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu.
Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika  di dalam bumi, keluarkanlah,
jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah.
Berkat waktu dhuha, kecantikan, keindahan, kekuatan, kekuasaanMu,
limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.

Huraian :

Surah yang digalakkan dibaca oleh para ulama’ ialah surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. Tetapi jika kita tidak menghafal surah-surah tersebut, tidak mengapa kerana tidak kira apa bacaan yang kita baca ketika solat mestilah dengan niat yang IKHLAS untuk Allah SWT, bukan kerana hendak rezeki yang banyak tetapi niatkan semata-mata untuk lebih mendekatkan diri kepada tuhan yang Maha Esa.

Saranan :
  1. Pada rakaat pertama bacalah ayatul kursi kerana ayutul kursi terlalu banyak keistimewaannya, semasa suruh itu diturunkan beribu-ribu malaikat sebagai perantaranya. Didalamnya juga terkandung KURSI (kerajaan) ALLAH yang sangat besar meliputi 7 lapisan langit dan bumi. Ada 95 buah hadish yang menerangkan akan fadhilat ayutul kursi.
  2. Rakaat kedua bacalah surah Al-Ikhlas sebab surah Al-Ikhlas merupakan 1/3 dari Al-Quran. Surah yang cukup besar maknanya sebab mengandungi sifat-sifat Allah yang Esa dan siapa Allah yang sebenar iaitu yang tidak beranak juga tidak diperanakkan dan tidak ada yang serupa denganNYA. Dua surah ini sudah cukup bagi yang tidak menghafal surah yang disarankan.
  3. Tetapi, jika kedua-dua nya kita tidak menghafal, kita juga boleh membaca apa-apa sahaja surah yang dihafal contohnya Al-Falaq.
Seterusnya, walaupun bilangan rakaat hingga ke 12 rakaat, kita boleh melakukan mengikut kemampuan. Marilah kita berpegang dengan hadith Nabi:

Dari Aisyah ra, Rasulullah saw bersabda, “Tingkatkanlah amalmu dengan baik, atau lebih dekatlah kepada kebaikan, dan bergembiralah, karena amal seseorang tiada dapat memasukkannya ke syurga.” Tanya para sahabat, “Amal Anda juga begitu, ya Rasulullah?’
Jawab Rasulullah, “Amalku juga begitu. Tetapi Allah melimpahiku dengan rahmat-Nya. Dan ketahuilah, bahwa amal yang paling disukai Allah ialah amal yang dikerjakan secara terus-menerus walaupun sedikit.” (HR. Bukhari, Muslim dan Nasa’i).
Oleh yang demikian, marilah kita mulakan dengan bilangan rakaat yang kecil tetapi istiqamah (berterusan) mengerjakaan ibadat sunat khususnya solat sunat dhuha kerana Rasulullah s.a.w  sangat menitikberatkan solat dhuha yang dapat dilihat bagaimana Rasulullah s.a.w telah mewasiatkan kepada beberapa sahabatnya antaranya Abu Hurairah r.a supaya melakukannya secara rutin dan berkekalan, sebagaimana hadis di bawah.


Daripada Abu Hurairah r.a, berkata:

Kekasihku shallallahu ‘alaihi wasallam telah mewasiatkan kepadaku tiga perkara yang tidak akan pernah aku tinggalkan sehingga akhir hayatku; berpuasa tiga hari setiap bulan (hijrah), mengerjakan dua rakaat solat Dhuha dan mengerjakan solat Witir sebelum tidur –
(HR Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Shaum, no: 1981.)
Selain itu, kita juga boleh baca mana-mana doa yang berkaitan tetapi lebih afdal baca doa solat dhuha yang khusus kerana doa itu sememangnya cukup baik dan sempurna untuk memohon keberkatan rezeki dari ilahi.

Psssss: Bagi memudahkan kita menghafal doa ini, marilah kita mendengar nasyid daripada kumpulan UNIC bertajuk Doa Dhuha.

UNIC-Doa Dhuha