Mencari pasangan hidup bukan mudah. Pasangan hidup maknanya pasangan
untuk hidup bersama. Bukan sekejap. Jika umur panjang mungkin bersama
sehingga 50 tahun. Bangun bersama, makan bersama, berbual bersama, tidur
bersama. Berkongsi anak, berkongsi rumah, berkongsi rasa, berkongsi
kasih.
Maka, mencari pasangan hidup ini memang perkara serius. Serius.
Memang serius. Jangan akibat si dia mengurat anda, maka anda terus
terpesona dan bersetuju. Jangan semata si dia comel atau glamour, maka
anda terus mengambilnya.
Fikir betul-betul. Solat istikharah dan banyakkan berdoa. Selagi
belum tenang jiwa, tunggu dulu. Usah tergopoh gapah. Mencari jodoh,
perlukan panduan. Perlu ada sandaran ilmu dan petunjuk. Dalam
banyak-banyak penulisan saya suka memetik sebahagian dari artikel Ust
Hasrizal (Abu Saif) dalam lamannya SaifulIslam.com. Antara yang menarik
tulisan berikut:
Hadith Nabi SAW yang diulang-ulang sebagai slogan memanifestasikan keinginan berumahtangga.
Bukan tidak banyak penjelasan tentang hadith ini di pelbagai sumber
maklumat yang ada. Tetapi sering anak muda kecundang dalam mengimbangkan
kefahamannya dalam konteks TEPAT dan JELAS. Selagi mana tidak tepat,
selagi itulah jalannya tersasar ke sana sini. Kehidupan yang tidak
ditentukan arahnya, adalah kehidupan yang tidak tentu arah.
Apa tujuan berumahtangga?
"Begin with the end in mind", adalah slogan kita untuk menepatkan matlamat kehidupan dan segenap peringkat perjalanannya.
Soal menentukan matlamat yang tepat, tidaklah begitu susah.
Berkahwin kerana harta? Harta bukan sumber bahagia. Donald Trumph
yang kaya raya itu pun pernah mengeluh dalam temubualnya bersama John C.
Maxwell, "aku melihat ramai orang yang lebih gembira hidupnya dari
hidupku. Padaku mereka itulah orang yang berjaya. Tetapi semua orang
mahu menjadi aku"
Harta bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan
pemilihan pasangan.
Berkahwin kerana keturunan? Keturunan bukan jaminan
sumber bahagia. Syarifah hanya boleh berkahwin dengan Syed? Puteri hanya
layak untuk Megat? Atau pantang keturunan berkahwin dengan ahli muzik
bak kata Mak Dara? Soal keturunan bukan penentu mutlak kerana setiap
manusia lahir dengan fitrah yang satu dan murni, lantas setiap mukallaf
dan mukallafah mampu kembali kepada kemurnian itu, biar pun lahir ke
dunia tanpa bapa yang sah sekali pun.
Keturunan bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.
Berkahwin kerana [1] kecantikan? Ahh, yang ini rumit barangkali.
Cinta itu dari mata turun ke hati. Maka mata pemutus pertama. Jika
berkenan di mata, mudahlah mata memujuk hati.
Tetapi selama mana kecantikan menyenangkan kehidupan? Kecantikan,
biar secantik mana pun, akan pudar dengan perjalanan masa. Kecantikan,
biar secantik mana sekali pun, boleh dicabar oleh naluri manusia yang
mudah kalah dengan alasan JEMU.Mahu berkahwin sementara cantik, dan
buang selepas cantik dan kacak bergaya itu dimamah usia?
Cantik bukan sumber bahagia, ia bukan matlamat atau pertimbangan
utama dalam menentukan pemilihan pasangan."Maka pilihlah yang memiliki
agama... nescaya sejahtera hidupmu", pesan Nabi SAW.Benar sekali,
pilihlah yang beragama."Maka saya kena kahwin dengan ustazah, saya kena
kahwin dengan ustaz!", kata seorang pelajar 'bidang bukan agama'.
PENYAKIT "TIDAK JELAS"
Setelah begitu tepat sekali kita menolak harta, keturunan dan rupa
paras sebagai sebab untuk memilih pasangan, tibalah kita kepada masalah
paling besar [2] menguruskan fikiran tentang perkahwinan, iaitu penyakit
"tidak jelas", apabila tiba kepada soal beragama.
Apakah yang memiliki agama itu mesti seorang yang ustazah atau ustaz?
Maka berkahwin dengan golongan ini, jaminan bahagia. Benarkah begitu?
Di sinilah penting untuk kita bezakan golongan yang TAHU agama, MAHU beragama dan MAMPU dalam beragama.
Soal
mendapatkan ilmu sebagai jalan beragama, adalah prinsip besar di dalam
Islam. Lihat sahaja langkah pertama proses wahyu, ia bermula dengan
perintah BACA sebagai wasilah menggarap pengetahuan.
Tetapi apakah TAHU itu merupakah maksud kita beragama dengan agama Islam ini?
Sejauh mana gred 'A' yang digarap dalam subjek "PengeTAHUan Agama
Islam" menjadi bekal dan perisai generasi Muslim dalam beragama?
"Yang memiliki agama" itu lebih luas dari sekadar sempadan tahu
agama. Ia adalah soal mahu yang menjadikan pengetahuan agama itu
dihayati, dan mampu dalam erti dia sentiasa bermujahadah untuk
memperbaiki diri.
Maka janganlah disempitkan maksud mencari yang beragama itu hanya
pada mereka yang berlabelkan "jenama TAHU agama" tetapi apa yang lebih
penting adalah mereka yang MAHU dan terbukti pada perbuatan hariannya
dia sentiasa berusaha menuju MAMPU.
Dia mungkin seorang ustazah.Dia juga mungkin seorang jurutera dan
doktor.Dia mungkin bertudung labuh.Dia juga mungkin belum bertudung
tetapi sentiasa mencari jalan untuk menuju kesempurnaan kebaikan. Dia
seorang yang membuka dirinya untuk dibimbing dan diajar. Seorang yang
'teachable".
HANYA 'BERAGAMA'?
Ada pula yang menyangka bahawa kebahagiaan rumahtangga itu terletak
pada beragamanya pasangan kita. Soal harta, keturunan dan rupa paras
tidak punya sebarang makna.
Maka jadilah seorang perempuan itu fasih lidahnya tentang agama dan
rapi pakaiannya sebagai isyarat dia beragama, tetapi dia tidak
mengetahui nilai harta. Dia boros dan tidak bijak menguruskan harta
rumahtangganya.
Dia nampak elok beragama, malah mungkin seorang pejuang agama, tetapi
dia tidak peduli nilai keturunan dan kekeluargaan. Dia tidak menghargai
keluarganya sendiri, tidak menghargai keluarga suami atau juga keluarga
isteri. Padanya, soal keluarga dan keturunan bukan urusan agama.
Dia bijak dalam memperkatakan tentang agama, tetapi dia menjadikan alasan agama untuk tidak peduli kepada penampilan diri.
Pakaiannya selekeh atas nama agama, kulitnya tidak dijaga bersih,
beralasankan agama. Jika perempuan, dia tidak peduli untuk mewangikan
diri atau bersolek mengemas diri, kerana padanya itu semua bukan
kehendak agama, dan si suami menikahinya bukan kerana itu. Saban hari
mukanya bertepek dengan bedak sejuk dan tubuhnya bersarung baju kelawar.
Hambar..
Jika lelaki, dia biarkan diri selekeh dan sentiasa berkemban di dalam
kain pelekat dan baju pagoda, membiarkan bau peluh jantannya tidak
berbasuh, kerana semua itu tiada kena mengena dengan agama.
Jadilah agama, sebagai alasan untuk sebuah rumahtangga itu menjadi
rumahtangga terhodoh, terburuk dan terselekeh... atas nama berkahwin
kerana beragama.
Artikel iluvislam.com